Bayangkanlah sebuah percintaan tanpa janji. Dah tentu dengan sendiri ia akan menjadi percintaan tanpa harapan. Dan kata orang, bercinta tanpa harapan samalah macam membaca buku yang di dalamnya tak ada gambar, tak ada lukisan dan tak ada tulisan. Lebih tepat lagi, macam memandu bas yang tidak berenjin dan berstering!..???

                Berdasarkan realiti itulah, semua orang akur pada satu hakikat; bahawa semakin banyak harapan berlegar di dalam fikiran, semakin indahlah juga sesebuah percintaan. Oleh kerana harapan itu ada kaitannya dengan janji, ini bermakna percintaan boleh diperindahkan dengan terus melafazkan janji demi janji. Makin banyak janji, makin syandulah jiwa pasangan yang bercinta itu. Makin syandu jiwanya, makin hanyutlah mereka. Kalau berani dan kalau ada masa, cubalah intai-intai apa yang diperbualkan oleh sesuatu pasangan. Cubalah dengar betul-betul dialog yang keluar dari mulut mereka. Nescaya sebahagian besarnya berpaksikan janji. 'I akan...' atau 'I tak akan...' pasti menjadi perkataan yang cukup banyak digunakan. Sekali sekala akan bersulamlah pula dengan 'sumpah' ..... 'walau apa pun...', 'dipanah petir sekali pun....'. Semuanya merupakan ayat-ayat yang berwajah janji.

 

Yang melafazkannya akan beria-ia.

Yang mendengar akan berasa bahagia.

Waktu itu kalau dibuat medical check-up, pasti tahap kesiumanan kedua-duanya akan berkurang beberapa peratus. Mereka akan terbuai-buai dalam satu kotak yang dipenuhi harapan-harapan yang indah.

 

                Huh, jiwang gila ayat aku tu. Tapi itu kenyataan. ltu yang berlaku sejak dahulu. Itu yang terus berlaku sampai bila-bila. Cinta, janji dan harapan benar-benar ibarat seluar dan bahagian pinggangnya. Pernah tengok seluar tanpa pinggang?

                Aku tak pernah. Tapi sebagai insan jenis yang cukup tak suka buat apa yang orang lain boleh buat, aku sedang berusaha keras untuk mencipta seluar jenis tu. Seluar tanpa pinggang. hehe.. Lebih tepat lagi, aku sedang berusaha mencipta percintaan jenis barn. Jenis yang di dalamnya tak ada janji dan tak ada harapan.

credit : http://starscream88.blogspot.com/